Zeti, Nik Aziz Antara Tokoh Maal Hijrah 1432

Dis 7, Kuala Lumpur : Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini dipilih sebagai penerima tokoh Ma’al Hijrah 1432H pada Majlis Perhimpunan Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Zeti, 63, merupakan penerima Tokoh Ma’al Hijrah wanita pertama negara selepas 24 tahun ia dianjurkan dan dianggap sebagai penerima dua zaman kerana bapanya, tokoh akademik, Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pernah menerima anugerah itu 11 tahun lalu.

“Saya sangat berterima kasih dan ini juga sebagai dorongan dan inspirasi untuk saya terus berusaha,” kata pemegang Sarjana dan ijazah kedoktoran Kewangan dan Ekonomi Antarabangsa dari University of Pennsylvania, AS itu yang turut menerima hadiah wang tunai RM100,000, pingat, plak dan sijil penghargaan. .

Selain menerima pelbagai anugerah dalam negara beliau turut menerima pengiktirafan dari luar apabila dipilih menganggotai Suruhanjaya Pakar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk mencadangkan hala tuju sistem monetari dan kewangan dunia serta mempengerusikan jawatankuasa kerja usahasama serantau (EMEAP) bagi merangka pelan induk kerjasama kewangan antara bank-bank pusat.

Sementara itu, di peringkat negeri pula, Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Datuk Shaikh Ismail Muhamad dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah negeri Terengganu tahun ini.

Ketokohan beliau yang banyak memberi sumbangan dan khidmat kepada pembangunan dakwah Islam di negara ini adalah antara sebab beliau dipilih menerima anugerah itu.

Dengan anugerah itu, Shaikh Ismail menerima hadiah wang tunai RM10,000, piala serta sijil penghargaan.

Di Jasin, penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Melaka 1432H, Datuk Nawawi Ahmad, 71, berkata perjuangan beliau dalam bidang dakwah masih belum selesai kerana anugerah itu memberikan satu tanggungjawab yang lebih besar baginya untuk menyebarkan syiar Islam.

Bekas Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Melekek, Alor Gajah, itu kini menjadi penceramah bebas dan menghasilkan buku antaranya “Ilmu Jiwa Dalam Al-Quran” dan pelbagai artikel majalah.

Di Kota Bharu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat menerima Tokoh Hijratul Rasul peringkat negeri bersama-sama Ridhuan Foo Abdullah.

Menurut Ridhuan, 53, pergaulan masyarakat Melayu di kampung yang saling bermaafan dengan cara bersalaman semasa menyambut hari raya, mencetuskan ilham seorang saudara baru untuk memeluk agama Islam, kira-kira 29 tahun lalu.

Itulah antara hidayah yang ditunjukkan oleh Allah SWT sehingga berjaya dipilih sebagai Tokoh Hijratul Rasul bagi kategori Saudara Kita sempena sambutan Hijratul Rasul peringkat Negeri Kelantan.

Beliau menerima hadiah wang tunai RM5,000, dinar emas dan sijil penyertaan daripada Sultan Kelantan, Tuanku Muhammad Ke-V, di Balai Islam, Lundang.

Menurut Ridhuan, beliau dilahirkan di Pekan Jelawat, Bachok dalam lingkungan masyarakat Melayu dan jiran-jirannya terdiri daripada orang Melayu.

Beliau melihat bagaimana mereka bersalaman dengan berpelukan mesra antara satu sama lain yang jarang dapat dilihat di kalangan masyarakat asalnya sendiri.

Katanya, bermula dari situlah mencetuskan minat beliau terhadap agama Islam hingga berkahwin dengan sorang gadis Melayu, Che Rohani Abdul Rahman, 50, dan hasil perkongsian hidup mereka mendapat enam anak, tiga daripada sedang menunutut di Mesir di bidang tahfiz al-Quran.

Menurutnya, dua dari anaknya membantu menguruskan syarikat perniagaan barangan elektronik dan menjadi wakil pengedar barangan elektronik berjenama.

Di Shah Alam, tokoh agama dan politik terkemuka negara, Datuk Dr Haron Din (gambar) dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maal Hijrah 1432 negeri Selangor.

Haron, pengasas Pusat Perubatan Darul Syifa’ dihadiahkan wang tunai RM10,000, pakej mengerjakan umrah, sehelai persalinan dan sijil penghargaan.

Turut menerima anugerah sempena sambutan itu ialah Ketua Pegawai Dakwah Islamic and Service Foundation (IIS), Shah Kirit Kakulal Govindji bagi kategori Anugerah Tokoh Saudara Kita.

Sukarelawan sepenuh masa yang turut menyertai Konvoi Life Line For Gaza, Noorazman Mohd Samsuddin pula diberikan Anugerah Tokoh Aktivis Masyarakat.

Bagi Anugerah Tokoh Keluarga Mithali pula diberikan kepada Panut Markom dan Jaliah Simin dengan menerima hadiah wang tunai RM5,000, pakej mengerjakan umrah, sehelai persalinan dan sijil penghargaan.

Manakala bagi Anugerah Pertubuhan dan Badan Dakwah Sukarela Selangor diberikan kepada Persekutuan Seruan Islam (Jami’yah) Selangor dan Wilayah Persekutuan yang menerima wang tunai RM5,000 dan baucar buku bernilai RM500.

Sementara itu, pensyarah Jabatan Senibina Lanskap, Kulliyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof. Dr. Ismawi bin Zen dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Sarawak di Dewan Suarah, Bintulu.

Dr.Ismawi yang berasal dari Kampung Gedong, Samarahan, Sarawak memulakan kerjayanya sebagai penolong pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia pada 1978.

Pada 1996 beliau menjadi Pensyarah dan Dekan Kulliyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar, UIAM. Beliau juga pernah menjadi Timbalan Rektor UIAM dari 1999 hingga 2005.

Sumbangan penting Dr. Ismawi kepada pembangunan ummah ialah bila beliau dilantik oleh Kerajaan Arab Saudi mengetuai barisan panel arkitek untuk pembangunan semula bandar Mekah termasuk Masjidil Haram, supaya menjadi lebih luas, mesra alam, dan selamat.

Panel berkenaan terdiri daripada 16 syarikat arkitek antarabangsa dari 13 negara termasuk Arab Saudi, Malaysia, Mesir, Jordan, Jepun, Jerman, Perancis, Switzerland, England, India, dan Afrika Selatan.

Sumber : BERNAMA

Comments are closed.